LUMUT | Mayat seorang lelaki ditemukan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak di kedudukan 6.5 batu nautika barat laut Pulau Rumbia, Perak di sini, semalam.
Mayat tanpa identiti itu ditemui pada jam 7.55 pagi.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd Hambali Ya’akup berkata, bot Maritim Perkasa 1223 diatur gerak ke lokasi bagi mengesahkan aduan yang diterima mengenai penemuan satu mayat oleh nelayan tempatan di perairan itu.
Katanya, hasil pemeriksaan dan rondaan di lokasi, satu mayat disyaki lelaki berseluar pendek serta berbaju singlet kuning namun tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan.
“Mayat berkenaan dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Sehingga kini, Maritim Negeri Perak belum menerima sebarang aduan berkenaan orang hilang di laut dan memohon agar mana-mana individu yang kehilangan ahli keluarga atau saudara segera tampil ke balai polis berdekatan untuk membantu siasatan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Maritim Malaysia mengingatkan komuniti maritim supaya tidak ke laut sekiranya cuaca buruk dan utamakan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan apabila melakukan aktiviti di perairan negara.
Sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut, orang ramai boleh menyalurkannya kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999.