KUALA KURAU | Dua buah bot kenka yang melanggar syarat lesen ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Kurau di kedudukan 7.7 batu nautika barat daya muara Kuala Kurau, semalam.
Bot berkenaan ditahan pada jam 11.05 pagi dan hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua bot terbabit menemukan, lima nelayan tempatan termasuk tekong berusia antara 49 hingga 68 tahun.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan Azman Hamid berkata, semasa rondaan rutin, pasukan operasi Maritim Malaysia mengesan dua bot sedang menunda pukat dan dirapati untuk pemeriksaan.
Katanya, berdasarkan pemeriksaan ke atas dokumen mendapati, bot kenka terbabit bukanlah pasangan seperti yang dinyatakan dalam lesen dan bot terbabit tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya.
“Selain itu, bot terbabit turut menarik pukat di kawasan yang tidak dibenarkan.
“Kesemua nelayan, bot dan peralatan menangkap ikan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen.
Maritim Malaysia menasihatkan kepada semua komuniti nelayan agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan dan sentiasa mengutamakan keselamatan ketika berada di laut demi kesejahteraan serta keselamatan bersama.