KOTA KINABALU | Ekonomi negeri Sabah menunjukkan pemulihan secara beransur-ansur pada tahun lalu meskipun belum setara dengan prestasi ekonomi sebelum pandemik Covid-19 pada 2019.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata berdasarkan dapatan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang dimuatkan dalam buku Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mengikut negeri pada 30 Jun lalu, KDNK Sabah berjumlah RM78.7 bilion pada 2021.
Hajiji yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata jumlah itu menunjukkan pertumbuhan 1.1 peratus berbanding KDNK 2020 yang mencatat sebanyak RM77.8 bilion ketika penularan pandemik Covid-19 dengan kadar pertumbuhan negatif 7.8 peratus berbanding KDNK pada 2019.
“Terdapat peningkatan KDNK perkapita bagi negeri Sabah iaitu RM26,674 pada 2021 berbanding RM21,706 pada 2020, namun KDNK perkapita negeri Sabah berada di bawah paras nasional iaitu RM47,324,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Siri Jelajah Penemuan Utama Banci Malaysia 2020 Negeri Sabah di Wisma Wanita Sabah di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Pembangunan Masyarakat dan Keaejahteraan Rakyat Sabah Datuk Ir Shahelmey Yahya dan Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.