KUALA LUMPUR | Penglibatan Malaysia pada persidangan Menteri-Menteri Belia dan Sukan Islam Sesi Kelima (ICYSM)’ di Jeddah, Arab Saudi memberi peluang kepada delegasi negara untuk bersama membangunkan Pelan Tindakan Strategik memperkasa belia Islam.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan memaklumkan, persidangan yang bermula semalam akan turut menyaksikan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bakal menyumbang idea ke arah pembangunan belia dan sukan, khasnya bagi negara–negara OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam).
Menurut kenyataan KBS, persidangan itu akan membincangkan perkara seperti kaedah meningkatkan kapasiti belia dan pembangunan sukan negara anggota, cabaran dihadapi negara anggota dalam bidang belia dan sukan akibat Covid-19, serta cadangan melaksanakan strategi pembangunan belia OIC serta pelan tindakan pembangunan sukan.
“Penyertaan Menteri Belia dan Sukan ke persidangan ini sebagai wakil Malaysia menunjukkan penglibatan aktif negara sebagai ahli pengasas OIC.
“Persidangan ICYSM juga merupakan sebuah platform bagi memperkukuhkan hubungan bilateral antara Malaysia dan setiap negara-negara anggota OIC,” menurut kenyataan itu.
Bertemakan ‘Pembangunan Belia dan Sukan Untuk Ummah Berteraskan Perpaduan’, persidangan yang akan berakhir esok itu, merupakan susulan penyertaan kontinjen Malaysia di Sukan Perpaduan Islam 2021 di Konya, Turkiye dari 9 hingga 18 Ogos lepas.- AGENSI