Kuala Terengganu | Penyokong Terengganu FC (TFC) sanggup melakukan apa saja bagi memberi semangat kepada pasukan apabila menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.
Bertempat di Chendering, dekat sini, ahli Kelab Penyokong Bolasepak TFC dan ‘The Batik Boys’ berganding bahu menghias terendak dan melakar kain rentang untuk dibawa ke stadium, malam esok.
Presiden Kelab Penyokong TFC, Mohd Isa Che Ariffin berkata, lebih 30 penyokong ahli kelab bersama ‘The Batik Boys’ akan hadir ke stadium sebagai ‘pemain ke-12’ dengan memakai terendak dan mengenakan kain batik bagi menyemarakkan lagi semangat pemain TFC.
Katanya, keunikan ahli memakai terendak selain mengenakan kain batik antara identiti kelab penyokong itu setiap kali skuad Penyu layak beraksi di pentas final.
“Ini antara identiti kami, kebetulan nelayan di Terengganu biasanya memakai terendak dan kain batik, jadi kami bersama pengeluar kopi Super Jantan dan ‘The Batik Boys’ menzahirkan sokongan padu kepada pasukan kesayangan setiap kali TFC layak beraksi di final.
“Kali kali terakhir ketika final Piala Malaysia menentang Perak pada 2018 dan bagi menambah lagi aura dan kehangatan pemain, kami mengecat terendak dengan warna hitam putih selain melakar kata-kata semangat pada 10 helai kain rentang bagi meniup api perjuangan pemain.
“Kami harap peminat setia skuad Penyu dapat mengamalkan disiplin dan semangat kesukanan tinggi tanpa sebarang provokasi kerana padahnya buruk jika tidak dapat mengawal emosi,” katanya ketika ditemui. SUMBER: METRO