KUALA LUMPUR | Reputasi benteng Johor Darul Ta’zim (JDT) yang hanya melepaskan lapan gol dalam saingan Liga Super tidak menggetarkan Terengganu FC apabila berdepan gergasi bola sepak tempatan itu dalam final Piala FA esok.
Keyakinan itu disuarakan penyerang Terengganu, Tchetche Kipre yang tekad merobek benteng JDT walaupun mengetahui kekuatan pertahanan lawan antara terbaik dalam Liga Super.
Tegasnya, dia dan rakan sepasukan tidak perlu gentar dengan situasi tersebut dalam usaha merobek gawang lawan namun mengakui bukan tugas mudah.
“Apa yang boleh saya katakan mereka (JDT) memiliki barisan pertahanan yang baik dan mereka tidak melepaskan banyak gok tapi ini final, peluang 50-50 dan saya fikir kami juga memiliki peluang.
“Paling penting apabila anda bermain di final, ia menjadi klinikal kerana anda tidak boleh melepaskan peluang terhidang. Perlawanan akhir tidak banyak peluang yang anda akan dapat.
“Saya melihat kepada satu pasukan, bukan individu. Kita cuba pecahkan benteng mereka, saya menghormati mereka tapi kami tak takut pada sesiapa,” katanya.
Kata Kipre, dia mengakui teruja membuat penampilan di pentas final Piala FA, namun tidak mahu pasukannya mengulangi kesilapan seperti dalam perlawanan sebelum ini.
“Paling penting bukan mengenai perkara yang lepas, tapi untuk mencipta sejarah baharu. Saya fikir kami ada pengalaman untuk memenangi piala kali ini,” tegasnya. – SUMBER: UTUSAN ONLINE