Kuala Terengganu | Lebih 50,000 rakyat Terengganu daripada pelbagai lapisan membanjiri Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, bagi menyaksikan pertembungan final Piala FA antara Terengganu FC (TFC) dan JDT yang ditayang menerusi layar, malam ini.
Tinjauan NSTP mendapati seawal jam 7 malam, stadium berkenaan mula dibanjiri peminat sukan bola sepak daripada seluruh pelusuk negeri bagi meniupkan api semangat kepada skuad Penyu dalam usaha mengulangi kejayaan merangkul Piala FA pada 2011.
Penyokon TFC, Ramli Jusoh, 63, berkata, dia percaya Terengganu mampu menundukkan JDT sekaligus berjaya muncul sebagai juara Piala FA.
Pesara kerajaan dari Marang itu berkata, dia bersama keluarga termasuk isteri dan lima anak berada di sekitar bandar ini jam 6 petang sebelum memasuki stadium jam 8 malam.
“Atas kertas memang nampak JDT menang tetapi saya percaya semangat juang tinggi, Terengganu mampu membuat kejutan,” katanya.
Seorang lagi peminat, Asmawati Hamzah,31, dari Seberang Takir berkata, dia percaya anak buah Nafuzi Zain mampu memberi hadiah bermakna kepada rakyat Terengganu yang sangat mengharapkan Piala FA kembali ke bumi Terengganu.
“Saya rasa Terengganu menang 3-2,” katanya.
SUMBER: METRO