PAGOH | Majlis Pemulihan Negara (MPN) menyarankan institusi perbankan mempertimbangkan cadangan pemberian moratorium kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutama mereka yang masih bergelut untuk pulih pasca COVID-19.
Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata sudah tiga kali mesyuarat MPN membincangkan mengenai PKS, yang antara lainnya memohon bantuan kewangan memandangkan ada antara mereka masih tidak dapat pulih dan perniagaan merosot.
Beliau berkata, ini ditambah pula dengan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak tiga kali tahun ini yang dilihat bukan saja memberi kesan kepada momentum pemulihan ekonomi negara, malah prestasi PKS yang kini menyumbang 90 peratus kepada aktiviti ekonomi negara.
“Pada mesyuarat (MPN) lalu, PKS meminta supaya institusi perbankan meneliti balik (sama ada) boleh untuk diadakan satu lagi moratorium khas. (Saya rasa) walaupun moratorium, mereka (bank) tidak akan rugi banyak. Bagi sedikit masa, PKS nak pulih tetapi tak boleh pulih lagi (sekarang),” katanya selepas program Jualan Prihatin Rakyat di Bukit Pasir, dekat sini, pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kegusaran orang ramai terhadap kesan kenaikan OPR sebanyak tiga kali tahun ini dan sama ada kenaikan itu akan menjejaskan momentum pemulihan ekonomi negara pasca COVID-19.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, beliau berharap kerajaan turut melihat kesan itu ke atas PKS yang menjadi antara sektor utama menyumbang kepada ekonomi negara.
“Kalau mereka (PKS) tidak cergas dalam menghasilkan pengeluaran yang boleh dipasarkan, yang boleh kompetitif, bermakna pemulihan itu akan terjejas.
“(Pemulihan) makin lambat dengan bebanan kos dengan kenaikan kadar inflasi dan sebagainya, ini akan jadi satu masalah besar,” katanya.
Selain itu, beliau turut berharap kerajaan dapat melihat kepada kenaikan OPR, seterusnya mencari jalan untuk membantu mengurangkan beban rakyat pada pembentangan Bajet 2023 akan datang.
Pada Khamis lalu, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR dinaikkan masing-masing kepada 2.75 peratus dan 2.25 peratus, yang juga kenaikan kali ketiga tahun ini selepas Mei dan Julai.
Sementara itu, mengenai Jualan Prihatin Rakyat yang mendapat sambutan hangat selepas beberapa kali dianjurkan di sekitar kawasan Parlimen itu, Muhyiddin berkata, program itu akan diperluaskan di seluruh negara tidak lama lagi.
Beliau berkata, jualan itu yang menawarkan sekampit beras lima kilogram, sepapan telur ayam dan seekor ayam pada harga RM20, adalah antara usaha pihaknya menyasarkan kepada golongan terkesan terutama B40.
Justeru, katanya, beliau turut berharap sumbangan dan kerjasama syarikat korporat menyertai program berkenaan.