Jabatan Perikanan Pahang melepaskan lebih 96,500 benih ikan ke Tasik Chini, di sini secara berperingkat sejak tahun lalu.
Empat spesies ikan air tawar yang dilepaskan ke tasik semula jadi itu ialah lampam sungai, baung, sebarau dan terbol.
Pengarah Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar, ia bertujuan menambah stok ikan di perairan berkenaan seterusnya memberi manfaat khususnya kepada nelayan darat terutama komuniti orang Asli.
“Kita sentiasa memberi perhatian kepada usaha menambah stok ikan di perairan umum negeri ini dan turut dilakukan di beberapa sungai utama dan empangan di Pahang.
“Turut dilepaskan benih udang galah di Sungai Rompin, Sungai Pontian di Rompin, Sungai Kuantan serta Sungai Bukit Rangin di Kuantan,” katanya pada Program Pelepasan 21,000 Benih Ikan Air Tawar di Tasik Chini sempena Program Penanaman Pokok dan Penggayaan Tasik Chini, di sini kelmarin.
Katanya, pihaknya berharap aktiviti memancing menjadi produk tambahan kepada sektor pelancongan di Tasik Chini yang sudah lama terkenal sebagai destinasi kunjungan pelancong dalam dan luar negara untuk melihat keindahan tasik semula jadi.
“Saya difahamkan setiap hari komuniti orang Asli memancing dan mereka menggunakan perahu untuk sampai ke Tasik Chini.
“Kita akan terus berusaha menambah stok ikan di sini menerusi program pelepasan benih ikan secara berterusan setiap tahun,” katanya. SUMBER: METRO