Majlis Daerah Bachok (MDB) Bandar Pelancongan Islam mencadangkan supaya Bandar Baru Jelawat diubah kepada nama yang sesuai dengan dasar Merakyatkan Membangun Bersama Islam.
Ketua Whip Ahli MDB Zamri Zahari berkata, nama terbabit dicadangkan pihaknya kepada kerajaan negeri untuk mendapat kelulusan ialah Madinah az Zahra.
Katanya, cadangan tersebut turut mendapat persetujuan Adun Pantai Irama, Mohd Huzaimy Che Husin.
“Kita cadangkan nama Madinah az Zahra tetapi cadangan tersebut masih di peringkat untuk mendapatkan persetujuan kerajaan negeri.
“Cadangan untuk tukar nama kita sudah putus dalam mesyuarat jawatankuasa ahli majlis MDB, lebih sebulan lepas,” katanya di sini.
Bandar Baru Jelawat yang berkeluasan 22.7 ekar, dijangka dirasmi oleh Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob pada Oktober depan.
Lokasi tersebut terletak dalam Mukim Rusa yang merupakan sebahagian kawasan dalam Dun Pantai Irama. Bandar baru diwujudkan memandangkan pekan Jelawat yang ada sekarang tidak dapat menampung pembangunan.
Beberapa premis perniagaan sudah memulakan operasi di bandar baru yang mampu menawarkan pekerjaan kepada seramai 1,500 penduduk tempatan, di samping peluang perniagaan.
Pelbagai kemudahan disediakan termasuk pasar awam dua tingkat, stesen bas, pasar raya, klinik, fasmasi, pusat dialisis, surau, kedai pakaian, kedai makanan segera dan pelbagai lagi.