Seorang lelaki di Brazil ditahan selepas disyaki membunuh pasangannya dan tinggal bersama mayat selama tiga hari.
Lelaki terbabit bertindak sedemikian kerana mendakwa mahu menunggu mayat mangsa ‘hidup kembali’.
Suspek yang tidak didedahkan identitinya ditahan pada 6 September lalu di bandar Joinville di tenggara negara itu.
Lelaki itu ditahan selepas dikatakan mempunyai kaitan dengan kematian seorang wanita berusia 59 tahun bernama Maria Nazareth Vargas.
Lelaki itu diminta memberikan penjelasan lanjut selepas imejnya dirakam kamera litar tertutup (CCTV).
Polis mengesahkan kematian Vargas berlaku tiga bulan lalu pada Jun di sebuah rumah yang didiami bersama lelaki terbabit.
Menerusi rakaman CCTV, lelaki terbabit dirakam masuk ke rumah berkenaan dan tidak keluar untuk tempoh tiga hari.
Dia kemudian muncul tiga hari kemudian dan memaklumkan kepada keluarga Vargas mengenai kematian wanita itu dan sebelum meninggalkan kawasan kejiranan itu.
Media tempatan melaporkan ketika mayat Vargas ditemukan, pihak perubatan tidak dapat mengesahkan punca kematian mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Namun, ibu mangsa mendesak supaya kes dibuka semula bagi mengenal pasti punca kematian anaknya.
Bagaimanapun, lelaki itu tidak berpuas hati dan memecah masuk rumah ibu kepada wanita itu dan cuba menikamnya.
Lelaki itu akhirnya mengaku menyerang ibu mangsa, tetapi menafikan membunuh pasangannya itu.
Kes itu masih dalam siasatan pihak berkuasa. SUMBER: AGENSI