Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan melancarkan NGO Perintis Komuniti Peduli Malaysia (Perintis Malaysia), yang dilihat membawa agenda Prihatin Rakyat.
Wan Saiful berkata penubuhan NGO seperti ini amat penting bagi memastikan rakyat disantuni dan dijaga, sesuai dengan agenda yang dibawa BERSATU.
Beliau berharap Perintis Malaysia boleh bergerak dengan lebih meluas di seluruh negeri.
“Saya difahamkan Perintis Malaysia telah mengadakan pelbagai aktiviti sebelum ini dari segi bantuan bencana banjir di Malaysia. Mereka turun beramai-ramai membantu bagi memastikan kebajikan mangsa banjir dapat dijaga,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Pelancaran Perintis Malaysia di Restoran Tiga Batu di sini, pada Ahad.
Hadir sama, Presiden Perintis Malaysia, Hasli Sazali.
Turut hadir, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Senator Datuk Razali Idris dan Mohd Yazid Mohd Yunus; dan Ketua Penerangan BERSATU Selangor Mohd Shukor Mustaffa.
Wan Saiful berkata objektif NGO ini adalah untuk membuat kerja-kerja amal, membantu mangsa bencana, membantu pendidikan rakyat dan sebagainya.
“Perintis Malaysia adalah NGO yang digerakkan oleh penggerak-penggerak dan aktivis-aktivis masyarakat.
“Saya amat berbangga dengan penubuhan NGO seperti ini yang begitu bersungguh-sungguh memastikan bahawa kebajikan rakyat secara keseluruhan dapat dijaga,” katanya.