PASIR MAS | Insiden pergaduhan antara pemilik rumah dan penyewa yang tular di laman sosial sudah selesai secara baik.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Nasaruddin Md Nasir berkata, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas terkesan dengan satu klip video yang tular di media sosial berdurasi 17 saat pada 12 September lalu.
Katanya, hasil siasatan polis mendapati kejadian berlaku pada 11 September di Lemal di sini yang memaparkan pergaduhan melibatkan beberapa individu.
“Hasil siasatan lanjut mendapati kejadian berpunca daripada pertikaian kenaikan sewa rumah antara pihak penyewa dan pemilik rumah.
“Penyewa berjanji untuk menyerahkan kunci rumah pada hari kejadian, namun gagal berbuat demikian menyebabkan berlaku pertikaian dan pergelutan antara kedua-dua belah pihak.
“Kedua-dua belah pihak berkenaan dipanggil ke IPD Pasir Mas bagi di ambil keterangan dan menyelesaikan pertikaian tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, dalam insiden berkenaan tiada sebarang kecederaan serius di alami oleh kedua-dua belah pihak dan hasil perbincangan yang diadakan, mereka mengakui kesilapan masing-masing dan tidak berhasrat untuk meneruskan kes serta mahu menyelesaikannya secara baik.
“Orang ramai dinasihati supaya tidak mudah menyebarkan sebarang berita atau perkara yang tidak pasti bagi mengelakkan kebimbangan dan salah faham dalam kalangan masyarakat.
“Sekiranya terdapat maklumat berhubung sesuatu insiden jenayah, orang ramai diminta supaya menghubungi IPD Pasir Mas
di talian 09-793 2222 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya.