KUALA LUMPUR | Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia dari segi kesiapsiagaan sumber manusia dengan seramai 16,239 orang tenaga bagi menghadapi bencana banjir.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, mereka terdiri daripada 5,067 pegawai JKM, 195 kaunselor dan pegawai psikologi, 1,075 sukarelawan kaunselor serta 9,902 sukelarawan JKM.
Selain itu, katanya, JKM juga berkolaborasi bersama agensi-agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam sesi Simulasi Latih Amal Pengurusan Pusat Pemindahan Sementara di semua negeri bermula Ogos lalu dan berakhir pada Oktober depan.
“Ianya bagi memastikan pengurusan pemindahan mangsa banjir adalah lebih tersusun dan sistematik.
“Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM9.16 juta bagi menghadapi bencana banjir tahun ini berbanding RM7.3 juta pada tahun 2021 melibatkan pertambahan sebanyak RM1.82 juta.
“Saya memohon agar kita semua peka dan segera bertindak jika sebarang amaran berkenaan bencana dikeluarkan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.