Golongan muda yang berusia 18 tahun ke atas pada 1 hingga 31 Ogos lalu boleh melakukan semakan daftar pemilih bermula hari ini.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos Tahun 2022 (DPT BLN8/2022) telah diperaku dan diwartakan serta dibuka untuk semakan selama 30 hari bermula hari ini.
Katanya, DPT BLN8/2022 ini mengandungi nama bagi 43,508 orang warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Ogos 2022 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.
“Sementara itu, 19,868 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 6,544 orang pemilih bertukar status atau kategori pengundi.
“SPR menyediakan lima kaedah semakan antaranya menerusi Portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my; Portal rasmi Pejabat-Pejabat Piiihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my; Aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my; Aplikasi mudah alih MySPR Semak atau Hotline SPR di talian 03-8892 7018,” katanya.
Beliau berkata, mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status namun tidak disenaraikan DPT BLN8/2022, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.
Katanya, di samping itu, mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya dengan mengisi Borang D dan hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.
“Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun dari portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN8/2022.
“Untuk sebarang pertanyaan mengenai urusan semakan DPT BLN8/2022 ini, orang ramai boleh melayari portal rasmi SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri.