JOHOR BAHRU: Selepas tertunda dua tahun akibat pandemik Covid-19, Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) ke-10 kini kembali dan bakal menyaksikan enam pasukan berentap.
Kejohanan antarabangsa bawah 21 tahun, pada 22 hingga 29 Okt ini, turut menyaksikan Afrika Selatan membuat penampilan kali pertama, selain pasukan gergasi Great Britain, Jepun, India, Australia serta tuan rumah Malaysia.
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Subahan Kamal berkata kejohanan itu merupakan platform terbaik buat pemain muda negara mendapatkan pendedahan beraksi dengan skuad antarabangsa selain menggilap bakat baharu.
“Kejohanan ini cukup berprestij dan dinantikan peminat sukan hoki tanah air. Sudah hampir dua tahun tiada kejohanan dan kita dapat lihat banyak kejohanan sudah mula giat diadakan.
“Kalau kita lihat negara seperti Afrika Selatan sekarang ini sedang meningkat dan baru-baru ini dalam Sukan Komanwel mereka masuk separuh akhir, penyertaan mereka sesuatu yang baik dan ranking mereka dalam dunia tidak silap di tangga ke-13 dan kita pula tangga ke-10, jadi saya rasa mereka akan beri tentangan hebat dan sama-sama dapat belajar antara satu sama lain,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran dan Penyampaian Cek Penajaan Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor ke-10 2022, di sini hari ini.
Majlis pelancaran kejohanan itu disempurnakan oleh Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim serta dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor Mohd Hairi Mad Shah dan Presiden Persatuan Hoki Johor Datuk Majid Manjit Abdullah.
Kejohanan tersebut turut mendapat tajaan sebanyak RM2.05 juta daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri.
Ketika ditanya mengenai sasaran Malaysia yang kali terakhir merangkul piala itu pada 2011, Subahan berkata beliau tidak meletakkan sasaran dan mahu pasukan hoki negara memberikan aksi yang terbaik.
“Meletakkan sasaran hanya memberi tekanan kepada pemain dan jurulatih, ini adalah platform untuk memberi pemain muda peluang meraih pengalaman,” katanya. – SUMBER: BERNAMA