KOTA BHARU | Seorang warga emas lelaki berusia 73 tahun antara tujuh yang ditahan selepas disyaki berkhalwat dalam Ops Banteras mencegah maksiat oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah (BPUS) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) sempena Hari Malaysia, malam tadi.
Bagi elak ditahan, warga emas itu sanggup memanjat siling setinggi lebih satu meter, namun berjaya ditahan pada jam 11.45 malam kerana disyaki berdua-duaan dengan seorang wanita berusia 40-an di sebuah rumah di bandar ini.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah JAHEAIK, Mohd Fadzuli Mohd Zain berkata, ketika diserbu seorang wanita membuka pintu sebelum pasukan membuat pemeriksaan dan mendapati seorang lelaki warga emas memanjat siling rumah.
Katanya, warga emas itu mendakwa ke rumah wanita itu untuk mengutip sewa rumah.
“Pasangan berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut kerana disyaki berdua-duaan di sebuah rumah.
“Dalam operasi di hotel bajet di bandar ini turut menahan lima individu yang berusia 20-an termasuk dua pasangan yang juga penuntut kolej kerana berada di dalam sebuah bilik.
“Dua pasangan itu mendakwa menginap di hotel itu untuk membuat tugasan yang diberikan oleh pensyarah,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, kesemua mereka ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 50 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Bil (1) 2019.
Beliau menasihatkan masyarakat supaya tidak melakukan perbuatan maksiat.