KOTA BHARU | Bahang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kian terasa, walaupun tidak tahu bila akan diadakan, namun ramai yang menawarkan diri untuk menjadi calon.
Menurut Ketua BERSATU Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi, mereka yang menawarkan diri untuk menjadi calon perlu sedar bahawa ianya satu tanggungjawab besar.
“Ramai yang fikir mereka sudah menang jika dapat jadi calon, sebaliknya ia amat berat dan harus sempurnakan tanggungjawab tersebut.
“Pesanan saya kepada mereka, menjadi calon tanggungjawab yang cukup berat dan mereka harus sempurnakan amanah tersebut dengan memberi kemenangan kepada parti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Cawangan BERSATU Bahagian Kota Bharu di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Kota, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan BERSATU berkata, persidangan peringkat cawangan diadakan untuk menyempurnakan tanggungjawab sebagai ahli parti itu.
Katanya, persidangan tersebut akan berlangsung hari ini dan esok di cawangan masing-masing.
“Perwakilan akan dilantik daripada cawangan untuk sertai persidangan di peringkat Bahagian yang dijangka berlangsung pada 9 hingga 16 Oktober.
“Dalam persidangan Bahagian pula akan ada pemilihan perwakilan untuk ke Persidangan Agung BERSATU yang dijangka berlangsung pada november ini,” katanya,