KUALA LUMPUR | Dua beradik mangsa dera yang diselamatkan Jumaat lalu dalam kejadian di Taman Cahaya, Ampang, Selangor mendapat perlindungan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, kedua-dua beradik berusia enam dan lapan tahun itu kini ditempatkan di Wad Pediatrik, Hospital Ampang.
“Alhamdulillah, mereka kini aktif dan kembali ceria dengan jagaan rapi daripada pihak hospital.
“Runtun jiwa ini… Itu yang mampu saya gambarkan semasa melawat dua beradik mangsa dera yang diselamatkan Jumaat lalu dalam kejadian yang berlaku di Taman Cahaya, Ampang.
“Kes dera mula disedari selepas seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dilihat cuba terjun daripada tingkat empat kondominium yang didiaminya,” katanya menerusi laman Facebooknya di sini.
Beliau berkata, jiran yang sedar akan kejadian telah menghubungi pihak berkuasa dan didapati mangsa ditinggalkan bersendirian di rumah tanpa bekalan makanan serta mempunyai kesan lebam di belakang badan, kaki dan tangan dipercayai kesan dera.
“Semasa penjaga yang merupakan ibu saudara mangsa diminta oleh pihak polis untuk hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya untuk siasatan lanjut, pihak polis juga mendapati terdapat kesan-kesan lebam pada tubuh badan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang merupakan adik mangsa lalu menahan suspek bersama suaminya.
“Kedua-dua kanak-kanak ini didapati tinggal bersama suspek dan suaminya sejak setahun lalu selepas ibu kandung mereka mengharapkan suspek yang merupakan kakaknya membantu menjaga anak-anaknya.
“Saya juga memuji sikap prihatin jiran tetangga mangsa yang cakna dengan kejadian yang menimpa sehingga berjaya membongkar kejadian pilu yang menimpa mereka,” katanya.
Rina turut mengucapkan terima kasih kepada pihak polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, doktor perubatan dan kakitangan Hospital Ampang serta JKM yang berjaya menjalankan tugas masing-masing dengan baik dalam menjaga keharmonian dan keselamatan mereka.