Satu gempa bumi kuat menggegarkan tenggara Taiwan hari ini, kata Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), yang menyebabkan sekurang-kurangnya sebuah bangunan runtuh di sebuah bandar kecil serta mengakibatkan amaran tsunami dikeluarkan di Jepun.
Gempa tersebut berlaku pada pukul 2.44 petang (waktu tempatan), kira-kira 50 kilometer (km) di utara bandar Taitung pada kedalaman 10 km, kata USGS.
Kekuatan awal gempa adalah 7.2 pada skala Richter, namun USGS kemudian menurunkan ukuran kepada 6.9 skala Richter.
Sekurang-kurangnya sebuah bangunan runtuh di bandar Yuli, kata media tempatan, Central News Agency (CNA).
Video yang dikongsikan CNA menunjukkan penduduk yang panik berlari ke arah bangunan runtuh yang membebaskan debu tebal ke udara.
Gegaran turut dirasai di bandar raya Taipei, kata wartawan AFP.
Sebelum itu, satu lagi gempa bumi berukuran 6.6 pada skala Richter menggegarkan wilayah yang sama semalam dan menyebabkan berlaku beberapa siri gegaran dengan kerosakan minimum.
Bagaimanapun, gegaran gempa hari ini disifatkan lebih kuat.
Agensi Meteorologi Jepun mengeluarkan amaran tsunami kepada kepulauan terpencil berhampiran Taiwan.
Ombak setinggi satu meter dijangka berlaku sekitar pukul 4 petang (waktu tempatan), katanya. – SUMBER: AFP