PUTRAJAYA | Pelaksanaan Aspirasi Negara Rendah Karbon 2040 secara holistik dijangka dapat meningkatkan purata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM13 bilion setahun, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri berkata, sasaran khusus bagi sektor tenaga Dasar Tenaga Negara (DTN) 2022-2040 itu juga dijangka mewujudkan lebih 207,000 peluang pekerjaan baharu.
Beliau berkata, sektor tenaga negara bakal membuka lembaran baharu selari di peringkat dunia yang menyaksikan kemunculan sektor baharu seperti mobiliti rendah karbon melalui penggunaan kenderaan elektrik (EV), serta penjanaan dan penyimpanan sumber tenaga baharu seperti hidrogen dan tenaga berasaskan bio.
“Untuk mencapai visi dan objektif DTN 2022-2040, sebanyak 12 strategi dan 31 pelan tindakan dikenal pasti, berlandaskan empat teras strategik dan lima pemboleh daya untuk dilaksanakan bagi jangka pendek, sederhana dan panjang, selari dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Lima Tahun,” katanya ketika melancarkan DTN 2022-2040, petang ini. Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Ismail Sabri berkata, Aspirasi Negara Rendah Karbon 2040 mengandungi sembilan sasaran terpilih untuk dicapai pada 2040.
Beliau berkata, antaranya, perkongsian mod pengangkutan awam bandar sebanyak 50 peratus; penggunaan EV sebanyak 38 peratus; piawaian bahan api alternatif kenderaan berat dengan campuran bahan api B30; penggunaan gas asli cecair (LNG) sebagai bahan api alternatif pengangkutan marin sebanyak 25 peratus; dan penjimatan kecekapan tenaga oleh industri dan komersial sebanyak 11 peratus serta kediaman sebanyak 10 peratus.
Perdana Menteri berkata, kerajaan bersetuju menubuhkan Majlis Tenaga Negara bagi menerajui hala tuju peringkat tertinggi dalam membuat keputusan strategik berkaitan sektor tenaga, kerana strategi dan pelan tindakan DTN merentasi pelbagai sektor dan pihak berkepentingan.
“Saya akan mempengerusikan Majlis Tenaga Negara ini bagi memastikan inisiatif DTN dilaksanakan secara berkesan oleh kementerian dan agensi bertanggungjawab berdasarkan akauntabiliti dan peranan masing-masing.
“DTN adalah ‘living document’ (dokumen hidup) yang dikemas kini setiap tiga tahun dengan semakan dan pertimbangan dilakukan Majlis Tenaga Negara, selari dengan kemajuan teknologi, tahap pencapaian sosioekonomi negara dan keseimbangan trilema tenaga semasa,” katanya. SUMBER: BERITA HARIAN