KUALA SELANGOR | Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Maritim Selangor menahan sebuah bot pancing yang beroperasi tanpa lesen di Perairan Selangor, semalam.
Penahanan itu dibuat pada kedudukan 4.7 batu nautika barat daya Kuala Selangor, kira-kira jam 2.30 petang.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Siva Kumar Vengadasalam berkata, bot pancing tersebut ditahan ketika pasukan operasi Maritim Malaysia sedang melaksanakan Op Ehsan dan Op Benteng Laut.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati, bot pancing dikendalikan lima kru termasuk tekong warga tempatan berusia antara 40 hingga 57 tahun.
“Bot, tekong dan kru dibawa ke Jeti Polis Marin Pelabuhan Klang Pulau Indah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO) kerana beroperasi tanpa lesen bot yang sah dan tekong tiada sijil perakuan kekompentenan membawa bot daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia.
“Maritim Malaysia mengingatkan pemilik dan tekong bot supaya mematuhi undang-undang di laut dengan memastikan bot memiliki lesen dan berdaftar dengan pihak berkuasa,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.