KOTA BHARU | Lebih 1,000 kematian akibat kemalangan di negara ini membabitkan golongan kanak-kanak termasuk remaja berusia di bawah 18 tahun.
Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia, Profesor Dr Kulanthayan KC Mani berkata, jumlah itu direkodkan pada tahun 2019.
Katanya, jumlah keseluruhan kematian adalah sebanyak 6,000 kes.
“Jumlah kemalangan keseluruhan adalah 550,000 kes pada 2019. Manakala, pada tahun lalu, jumlah kemalangan yang dicatatkan adalah lebih 370,000 kes yang membabitkan 4,539 kematian.
“Jumlah ini turun kerana disebabkan pandemik Covid-19 kerana angka kenderaan di jalan raya berkurangan memandangkan kebanyakan masyarakat duduk di rumah,” katanya ketika ditemui selepas Program Inisiatif Keselamatan Pejalan Kaki dalam Kalangan Kanak-Kanak Sekolah di sini, hari ini.
Beliau yang juga Penyelidik Bersekutu Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia berkata, kebanyakan kematian ini membabitkan pembonceng motosikal diikuti penumpang kereta dan pejalan kaki.
Katanya, faktor kemalangan di negara ini kebanyakannya membabitkan isu kelajuan terutamanya kenderaan persendirian termasuk kereta dan motosikal.