KOTA BHARU | Kelantan merekodkan sebanyak 48 kes denggi dalam masa seminggu bermula 11 hingga 17 September lalu.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata, kes berkenaan direkodkan pada Minggu Epid (ME) ke-37.
Katanya, terdapat peningkatan lebih 100 peratus berbanding kes pada ME ke-36 iaitu 23 kes.
“Kes pada ME ke-37 itu direkodkan di Kota Bharu sebanyak 28 kes dan Pasir Puteh dengan lapan kes, Tumpat (tiga kes), Bachok, Pasir Mas dan Machang masing-masing dua kes serta Gua Musang, Kuala Krai dan Tanah Merah dengan satu kes.
“Peningkatan kes ini mungkin disebabkan cuti sekolah di mana berlaku pergerakan ramai sama ada penduduk tempatan atau luar Kelantan keluar dan masuk ke Kelantan,” katanya di sini, hari ini.
Dr Zaini berkata, kumulatif kejadian kes denggi di negeri ini adalah 647 kes dengan jumlah kematian sebanyak empat kes.