JAKARTA | Jenazah Ketua Dewan Majlis Wartawan Indonesia (Pers), Prof. Dr. Azyumardi Azra tiba di negara ini pada malam semalam.
Perkara itu dimaklumkan oleh keluarganya yang masih berada di Malaysia sehingga urusan penghantaran jenazah selesai.
“Jika tiada aral melintang, jenazah akan dibawa ke rumah dahulu sebelum disolatkan dan dikebumikan pada pagi ini,” kata anak saudaranya, Armia Putriana seperti yang dilaporkan oleh Antara.
Jelas Armia, jenazah Azyumardi akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Pahlawan Kalibata di Jakarta Selatan.
Terdahulu, Kedutaan Besar Republik Indonesia di Malaysia menerusi kenyataan memaklumkan, cendekiawan berusia 67 tahun itu meninggal dunia pada pukul 12.30 tengah hari kelmarin selepas dimasukkan ke Hospital Serdang pada Jumaat lepas, sebaik sahaja tiba dari Indonesia.
Jelas kenyataan itu, Azyumardi dibawa ke hospital tersebut selepas mengalami sesak nafas ketika dalam penerbangan.
“Pasukan perubatan di hospital memaklumkan, terdapat gangguan pada jantungnya dan memerlukan rawatan khusus di unit jantung.
“Keluarga Allahyarham juga sudah tiba di Malaysia untuk pengurusan jenazah,” menurut kenyataan tersebut.
Azyumardi berkunjung ke Malaysia bagi memenuhi undangan sebagai seorang daripada panel dalam program yang dijadualkan berlangsung di Bangi. SUMBER: UTUSAN