KOTA BHARU | Polis Kelantan tidak pernah menutup siasatan berhubung kes seorang lelaki dipercayai dibawa lari ke Thailand oleh sekumpulan lelaki pada Julai 2017.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan diteruskan dengan mencari bukti dan petunjuk baru.
Katanya, pihak polis juga telah membuat beberapa tangkapan, namun tiada petunjuk yang dapat membantu siasatan.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan ingin merujuk satu kenyataan di media secara dalam talian dan media cetak hari ini berkaitan kes seorang lelaki dipercayai dibawa lari ke Thailand oleh sekumpulan lelaki pada Julai 2017.
“Polis masih meneruskan siasatan terhadap kes berkenaan untuk mencari bukti dan petunjuk baru,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, sekiranya ahli keluarga mahupun orang ramai mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini sila berhubung dengan pihak polis di Hotline PDRM Kelantan di talian 09-7455622 atau boleh salurkan maklumat di balai-balai polis berhampiran.
“Saya juga ingin mengingatkan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan untuk tidak mengambil tindakan secara bersendirian kerana ianya akan mengundang bahaya dan merencatkan malah merugikan dari sudut perkembangan siasatan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, dalam kejadian jam 11.15 malam, 5 Julai 2017,
Mohamad Aiman Zafri, 29, bersama isteri yang berhenti di kedai runcit ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Padang Tembak didatangi sebuah kereta sebelum tiga lelaki keluar dan memaksa lelaki itu masuk ke dalam kenderaan mereka.
Laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu oleh isteri mangsa sebelum dihubungi seorang lelaki menggunakan nombor Thailand yang meminta wang tebusan RM50,000.