Seorang hakim di Baltimore pada Isnin memerintahkan pembebasan Adnan Syed selepas membatalkan sabitannya atas dakwaan membunuh bekas teman wanitanya, Hae Min Lee pada 1999.
Syed atau nama sebenarnya, Adnan Masud Syed disabitkan dengan kesalahan membunuh Lee, gadis berusia 18 tahun kacukan Amerika Syarikat-Korea Selatan yang merupakan pelajar sekolah tinggi ketika itu, sebelum dia dijatuhi dihukum penjara seumur hidup.
Warga Amerika Syarikat yang kini berusia 41 tahun itu telah menghabiskan lebih daripada 20 tahun di penjara, namun dia sentiasa mengatakan bahawa dia tidak bersalah, lapor The Guardian.
“Syed merupakan kawan baik adik lelaki saya dan seperti abang kepada saya juga. Dari hari dia ditahan polis dari katil di kediamannya pada waktu subuh 26 Februari 1999 sehingga hari ini, dia telah mengekalkan sifat tidak bersalahnya; saya dan keluarga mempercayainya,” kata peguam dan aktivis, Rabia Chaudry.
Chaudry juga menegaskan bahawa setiap bukti forensik yang dikumpul menunjukkan Syed tidak bersalah – daripada helaian rambut yang ditemui pada mayat Lee, yang tidak sepadan dengan Syed kepada berpuluh-puluh sampel tanah yang diambil dari pakaian, kasut, kereta dan biliknya – yang mengembalikan keputusan negatif untuk tanah padanan dari Leakin Park, lokasi mayat Min Lee ditemui.
Pada minggu lalu, pendakwa raya memfailkan usul mengatakan siasatan panjang dijalankan dengan pihak pembelaan menemui bukti baharu yang boleh menjejaskan sabitan Syed.
Peguam negara untuk Baltimore, Marilyn Mosby dalam satu kenyataan berkata bahawa individu yang bertanggungjawab untuk jenayah kejam itu pelu bertanggungjawab.
Pejabat Mosby berkata siasatan telah mendedahkan maklumat yang tidak didedahkan dan baru dibangunkan mengenai dua suspek alternatif, serta data menara telefon bimbit yang tidak boleh dipercayai.
“Suspek adalah orang yang dikenali pada masa penyiasatan asal tetapi tidak diketepikan atau didedahkan dengan betul kepada pihak pembelaan,” kata pendakwa raya yang enggan mengeluarkan maklumat mengenai suspek berikutan siasatan yang sedang dijalankan.
Penolong Peguam Negara, Becky Feldman pula menjelaskan bahawa butiran yang menjejaskan sabitan termasuklah keterangan saksi yang tidak boleh dipercayai dan detektif yang berpotensi berat sebelah dalam siasatan kes berkenaan.
“Kita faham betapa sukarnya perkara ini, tetapi kita perlu memastikan kita bertanggungjawab terhadap orang yang betul,” ujar Feldman.
Sementara, BBC melaporkan pendakwa raya minggu lalu meminta mahkamah membatalkan sabitan kesalahannya, dengan berkata semakan kes selama setahun telah menemui dua ‘suspek alternatif’ kes tersebut.
Pejabat Peguam Negara Baltimore yang mengkaji kes itu sepanjang tahun lalu bersama peguam bela terbaharu Syed, berkata pada Rabu bahawa Syed ‘layak dibicarakan semula’.
Pendakwa raya berkata mereka tidak mempunyai keyakinan terhadap integriti sabitan dan telah mengenal pasti dua suspek baharu yang diketahui polis sejak pembunuhan pada 1999 itu.
Kedua-dua suspek tidak dinamakan, tetapi pegawai berkata, kedua-duanya memiliki rekod keganasan terhadap wanita, termasuk sabitan yang berlaku selepas perbicaraan terhadap Syed.
Seorang suspek telah dibebaskan daripada penyiasatan ke atas kematian Lee selepas gagal dalam ujian pengesan pembohongan, kaedah yang tidak lagi boleh diterima di kebanyakan mahkamah AS.
Perbicaraan kes berkenaan telah disiarkan menerusi Podcast “Serial” yang diterbitkan oleh stesen radio awam Chicago WBEZ, yang telah menarik perhatian seluruh AS terhadap kes itu pada 2014. – SUMBER: AGENSI