Seorang akrobat di Russia jatuh ke tanah dari ketinggian 4.9 meter semasa membuat persembahan, menyebabkan penonton menjerit ketakutan, lapor akhbar Daily Star kelmarin.
Tatyana Zolotukhina jatuh di atas gelanggang sarkas ketika melakukan aksi berisiko bersama suami dan rakan akrobatiknya, Sergey Zolotukhin. Ibu bapa dan kanak-kanak yang hadir ketakutan menyaksikan insiden berkenaan.
Zolotukhina gagal menangkap tangan Zolotukhin semasa aksi berbahayaitu. Dia dimasukkan ke hospital selepas jatuh dari ketinggian 4.9 meter semasa membuat persembahan sarkas di Russia.
Suasana gelanggang bertukar sunyi selepas kemalangan berlaku, manakala suaminya bergegas membantu dan membawa mangsa keluar dari tempat kejadian.
Semasa Zolotukhin mengangkat isterinya yang cedera keluar dari gelanggang, para penonton bertepuk tangan apabila melihat Zolotukhina kelihatan sedar.
Setelah melakukan ujian Pengimejan Resonans Magnetic (MRI), pakar-pakar perubatan mengesahkan bahawa wanita itu patah pergelangan tangan selain bimbang patah tulang belakang.
Pasangan suami isteri itu melakukan aksi trapez (ayunan buai) baharu dipanggil ‘flame’ tanpa menggunakan jaring keselamatan yang mengambil masa dua tahun untuk Zolotukhin berlatih.
Zolotukhina memuat naik hantaran di media sosial dengan berkata bahawa dia mengalami parut, lebam, ketakutan dan sebagainya ketika menjalani latihan.
Pengarah Great Moscow State Circus, Edgard Zapashny berkata, Zolotukhina jatuh dari ketinggian 5 meter ketika melakukan helah yang rumit dan berbahaya itu.
“Artis itu sedar dan bergerak sendiri. Kesihatan penghibur itu kini tidak dalam bahaya dan dia akan kembali ke arena tidak lama lagi,” katanya. – SUMBER: AGENSI