PASIR PUTEH | Sebuah bot nelayan asing bersama lima kru warganegara Vietnam ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan menerusi Op Khas Naga Barat, Op Khas Kuda Laut dan Op Damai, kelmarin.
Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman
berkata, bot yang ditahan itu bertindak agresif untuk mengelak daripada ditahan dengan
membuat pergerakan berbahaya sebelum ditahan jam 8.44 pagi pada jarak 163.8 batu nautika daripada muara Tok Bali.
Katanya, awak-awak turut melepaskan tali yang panjang ke air untuk menghentikan propeller kapal.
“Pada jam 8.02 pagi, KM Amanah mengesan sebuah bot nelayan pada jarak lebih kurang 3.5 batu nautika. Menyedari kehadiran kapal penguat kuasa Maritim Malaysia, bot itu bertindak untuk melarikan diri namun gagal apabila dipintas.
“Pasukan geledah berjaya menaiki dan menahan bot itu. Hasil pemeriksaan, bot adalah bot nelayan asing Vietnam dengan mempunyai lima kru termasuk tekong berusia antara 34 hingga 51 tahun.
“Tekong juga gagal menunjukkan sebarang dokumen kebenaran melakukan aktiviti perikanan di perairan Malaysia.
“Pemeriksaan juga mendapati tiada hasil ikan berada di atas bot dan disyaki telah memindahkan hasil ikan kepada bot lain,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, bot dan peralatan menangkap ikan dengan nilai keseluruhan termasuk diesel lebih kurang 1000 liter berjumlah RM1.23 juta.
Katanya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan atau cuba menangkap ikan di perairan Malaysia.
“Bot turut disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16 (3) akta yang sama kerana gagal memaklumkan pegawai berkuasa melalui radio atau faksimili tentang nama negara, bendera, lokasi laluan dan destinasi vesel, dalam hal memasuki perairan perikanan Malaysia.
“Bagi kesalahan itu, kesemua suspek boleh dihukum di bawah Seksyen 25 (a) iaitu
hukuman denda sehingga RM6 juta kepada tekong dan RM600,000 ke atas setiap kru, manakala bot dan peralatan menangkap ikan juga boleh dilucut hak kepada kerajaan Malaysia jika sabit kesalahan.
“Kesemua yang ditahan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan akan disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Beliau berkata, perjalanan membawa tahanan ke Jeti Maritim Negeri Kelantan mengambil masa lebih kurang 28 jam sebelum tiba 12.15 tengah hari semalam.