BACHOK | Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengambil inisiatif menubuhkan Ignite Venture Lab (IVL) atau Makmal Inovasi sebagai hab inkubasi dan accelerator berteraskan inovasi di universiti.
Ketua Unit IVL, Dr Hana Yazmeen Hapiz berkata, makmal Inovasi ini bertujuan untuk melengkapkan pelajar dan kakitangan dengan ruang yang inovatif, fasiliti dan latihan yang diperlukan untuk melancarkan permulaan syarikat oleh pelajar atau usahawan dalam pelbagai industri, termasuk keusahawanan sosial, pertanian, dan teknologi pengguna.
Katanya, penubuhan IVL sebagai pemacu utama untuk menanamkan pemikiran inovatif dalam minda usahawan syarikat pemula di UMK dengan menitikberatkan kepentingan atribut inovasi dalam produk keluaran syarikat.
“IVL juga ditubuhkan untuk menyahut seruan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030) dalam memperkukuh ekosistem inovasi pada peringkat nasional demi menyokong potensi sebenar start-ups ke arah industri masa depan dengan kluster keusahawanan sedia ada di UMK.
“Keperluan ini bagi memenuhi keperluan khusus syarikat pemula yang didorong oleh inovasi dan berteknologi tinggi,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, mengikut laporan yang diterbitkan oleh European Commission (EC), di Eropah sebanyak 756,000 pekerjaan dalam sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang tidak diisi pada tahun 2020.
Katanya, jumlah itu dijangka meningkat menerusi Revolusi Industri 4.0. Dengan peningkatan bilangan pekerjaan yang menekankan literasi digital, dijangka bahawa pasaran untuk produk berasaskan teknologi akan berkembang.
“Justeru, IVL komited terhadap pendigitalan dan kemajuan teknologi. Sebagai makmal inovasi di kampus, IVL membolehkan syarikat pemula mempelajari daripada kesilapan yang dibuat.
“Institusi swasta dan awam telah berjaya mendapat manfaat hasil kerjasama dengan universiti melalui akses kepada ekosistem P&I, jaringan, sumber, teknologi dan pengetahuan yang membolehkan rakan kolaborasi menambah nilai, meningkatkan kecekapan, berdaya saing dan memacu inovasi.
“Usaha kerjasama industri dan universiti untuk membangunkan produk serta perkhidmatan yang inovatif membantu syarikat pemula kekal relevan dan kompeten dalam pasaran semasa,” katanya.
Hana Yazmeen berkata, IVL menjalankan kerjasama strategik dengan agensi berasaskan inovasi seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI) untuk membina rangkaian profesional dan global.