KUALA LUMPUR | Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan kadar pertumbuhan syarikat industri sukan bakal meningkat sebanyak 30 peratus.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu juga berkata kementeriannya turut menyasarkan pendaftaran produk jenama sukan akan meningkat 15 peratus dan ini akan menyumbang kepada peluang serta penciptaan pekerjaan.
“Selain itu KBS turut sasaran perbelanjaan tahunan isi rumah untuk sukan meningkat 5 peratus, 50 peratus penglibatan swasta dan awam dalam industri sukan serta 10 peratus nilai pelaburan dalam industri sukan.
“Maka yakinilah, sports industry will become as the new pillar for wealth creation,” katanya ketika berucap dalam Majlis Soft Launch Ekspo Industri Sukan Kuala Lumpur 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.
Tambahnya, generasi masa kini dan masa depan, pastinya perlu menjadi sebahagian daripada pemacu industri yang bernilai berbilion ringgit ini.
Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata Ekspo Industri Sukan Kuala Lumpur (EISKL) 2022 akan berlangsung bermula 6 sehingga 9 Oktober ini di Kompleks Sukan Bukit Jalil.
Katanya, EISKL 2022 merupakan antara langkah awal sebagai satu platform untuk KBS menonjolkan potensi dan sumbangan industri sukan terhadap negara.
“Ia bakal menghimpunkan semua penggiat dan pemain industri sukan yang terdiri daripada pelbagai segmen seperti peruncitan, pembuatan barangan sukan, pembinaan fasiliti, media, teknologi, perubatan sukan, pelancongan, pendidikan serta pengurusan venue dan acara.
“Moga-moga organisasi korporat, persatuan sukan, NGO, pusat pengajian tinggi dan masyarakat umum dapat bersama-sama menyokong EISKL 2022.
“Diharap juga pelbagai limpahan ekonomi dapat diraih oleh Kerajaan serta rakyat melalui penganjuran acara seperti ini,’ katanya.