GUA MUSANG | Tiga lelaki cedera, manakala mangsa lain selamat dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan kejadian di Kilometer (KM) 8, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini, hari ini.
Kemalangan jam 3 petang itu membabitkan sebuah lori dan enam kereta.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kejadian berlaku apabila lori yang dipandu lelaki berusia 31 tahun dari arah Gua Musang ke Kuala Krai gagal memperlahankan kenderaan yang dipandunya.
Katanya, apabila sampai di tempat kejadian terdapat deretan kenderaan serta arus trafik bergerak perlahan.
“Pemandu lori cuba membrek kenderaannya, tetapi menggelongsor sejauh 117 meter dan terus melanggar bahagian belakang kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza.
“Kejadian itu mengakibatkan lori terbabas melanggar bahagian hadapan MPV Nissan Grand Livina dan melanggar belakang Perodua Myvi.
“Pelanggaran itu menyebabkan Perodua Myvi bergerak ke hadapan kemudian terlanggar belakang sebuah lagi Perodua Myvi,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, Perodua Myvi kemudian bergerak ke hadapan dan melanggar Proton Saga yang turut melanggar Perodua Alza.
Menurutnya, pemandu lori dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang untuk pemeriksaan awal ujian saringan air kencing dan didapati negatif.
“Punca kejadian kerana pemandu lori gagal memperlahankan kenderaan dan melanggar bahagian belakang Perodua Alza. Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.