KOTA BHARU | Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan menyita 2,560 utas jam tangan pelbagai jenis dan berjenama terkenal di sebuah premis di Padang Bongor, Jalan Pangkalan Chepa di sini, hari ini.
Operasi bersepadu itu dijalankan oleh Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Negeri Kelantan bersama wakil pemilik Cap Dagang.
KPDNHEP menerusi satu kenyataan berkata, nilai rampasan keseluruhan anggaran berjumlah RM25,600.
Katanya, modus operandi adalah dengan membuat belian barang ini dari luar negara seterusnya menjual secara dalam talian dan secara langsung untuk mendapat keuntungan yang tinggi bagi mengaburi pihak berkuasa supaya tidak dapat mengesan aktiviti yang dijalankan.
“Operasi dilaksanakan bagi membanteras aktiviti penjualan barangan tiruan, penggunaan cap dagangan tanpa kelulusan dan tanpa kebenaran dari pemilik cap dagangan berdaftar.
“Pasukan dengan kekuatan seramai lima Pegawai Penguatkuasa bersama wakil pemilik cap dagang ke lokasi di sebuah premis di Padang Bongor.
“Serbuan melalui pengaduan oleh wakil pemilik cap dagang daripada pemantauan dan risikan pengaduan pihaknya selama seminggu,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat jam tangan getah pelbagai jenis dan jenama terkenal disyaki pelanggaran menggunakan cap dagangan berdaftar ditemui di premis itu.
“Satu tindakan kes dihasilkan kesalahan Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan, kawalan dan jagaan bagi maksud perdagangan suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah di bawah Seksyen 100 ACD 2019.
“Jika sabit kesalahan, pemilik premis perniagaan boleh didenda jika pertubuhan atau perbadanan, denda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang. Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda tidak melebihi RM30,000 bagi setiap barangan.
“Manakala individu atau perseorangan denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang atau penjara tidak lebih 3 tahun atau kedua-duanya,” katanya.
KPDNHEP Kelantan memberi amaran kepada mana-mana individu atau peniaga yang dengan niat melakukan aktiviti tidak bermoral ini supaya menghentikannya segera.