Walaupun mendapat kritikan negatif terutama di Malaysia sebaik ia mula ditayangkan melalui khidmat penstriman hiburan, Netflix, filem terlaris dalam sejarah industri perfileman Malaysia, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan bukan sahaja menjadi filem nombor satu di Netflix Malaysia, tetapi juga meraih populariti di Netflix Israel dan negara teluk.
Filem yang dilaporkan telah dibeli oleh Netflix daripada penerbitnya pada harga RM7 juta itu menduduki nombor empat dalam carta Top 10 filem paling ramai ditonton di Israel dan negara-negara teluk Arab Saudi dan Oman bermula Khamis (22 Sept).
Menurut FlixPatrol, filem arahan sutradara Syamsul Yusof itu turut meraih kedudukan nombor empat dalam senarai Top 10 filem paling popular di Netflix beberapa buah negara lain termasuk, Jamaica, Maghribi, Nigeria, dan Romania.
Selain itu, filem tersebut menduduki carta Top 10 filem popular di Netflix Bahamas, Cyprus, Finland, Greece, Hong Kong, Norway, Portugal, Filipina, Peru dan beberapa buah negara yang lain.
Filem epik terhangat Mat Kilau ini dibintangi barisan pelakon hebat antaranya Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Yayan Ruhian, Johan As’ari, Datuk Rahim Razali dan Datuk Jalaluddin Hassan.
Untuk rekod, Mat Kilau mencipta sejarahnya sendiri apabila menjadi filem tempatan dengan jumlah kutipan paling tinggi dalam sejarah industri perfileman negara.
Filem penuh kontroversi itu berjaya meraih kutipan sebanyak RM97 juta menjadikannya sebagai filem tempatan dengan keuntungan yang tertinggi sepanjang zaman setakat ini.