Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak sesuai untuk diadakan masa ini walaupun terdapat desakan daripada pemimpin politik terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Presiden Mahasiswa United, Muhammad Airil Fitri Jalalludin berkata ‘cakap-cakap’ pilihan raya penting untuk diadakan segera bagi mengembalikan kestabilan politik negara hanyalah retorik semata-mata.
“Sekiranya benar dengan diadakan PRU15 diadakan tahun ini dapat mengembalikan kestabilan politik, buktikan dahulu jaminan mereka.
“Adakah benar PRU15 ini sesebuah parti mampu mendominasi semula pentadbiran kerajaan atau sebaliknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Airil, sebagai seorang anak muda yang mengimpikan sebuah kestabilan politik, beliau mahukan pimpinan tertinggi negara pada hari ini untuk memikirkan rakyat dan mengenepikan ideologi politik masing-masing.
Katanya, perpecahan yang berlaku hari sudah cukup parah dan jangan biarkan ia menjadi kanser kepada negara.
“Dan akhirnya rakyat yang menderita. Saya mengharapkan agar Perdana Menteri untuk memberikan perhatian sepenuhnya kepada rakyat berbanding mengutamakan kepentingan politik.
“Sedarlah bahawa kita semakin ketinggalan, dan janganlah menambah duka dan lara rakyat lagi. Jika benar prinsip ABATA menjadi pegangan, mohon PRU15 diadakan tahun hadapan,” katanya.
Sementara itu, Airil turut mempersoalkan kenapa PRU15 mahu diadakan dalam tempoh yang genting.
Katanya, ini kerana seperti sedia maklum bulan November hingga Januari bermulanya musim tengkujuh dan berkemungkinan beberapa kawasan rendah akan menghadapi banjir.
“Adakah pilihan raya tidak dapat dilaksanakan selepas bulan Mac tahun hadapan.
“Ketua Pengarah Jabatan Meteorlogi juga menyatakan bahawa rakyat berkemungkinan akan berdepan dengan ribut petir dan bencana banjir sekiranya pilihanraya diadakan dalam masa terdekat,” katanya.
Jelasnya, hal itu dikaitkan dengan peralihan monsun bermula Oktober sehingga November.
Katanya, kawasan yang dijangka mengalami banjir seperti negeri-negeri pantai barat dan pendalaman Semenanjung, kawasan barat dan tengah di negeri Sarawak dan Barat negeri Sabah akan terkesan dengan peralihan monsun itu.