Hujan lebat sejak awal pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan di Pulau Pinang dilanda banjir kilat, namun tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka, setakat ini.
Hujan lebat sejak jam 5 pagi itu mengakibatkan kawasan Bayan Lepas, Bayan Baru serta Bukit Jambul terjejas, manakala beberapa laluan utama turut ditenggelami air sehingga menyukarkan kenderaan ringan melalui jalan terbabit.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz, berkata pihaknya menerima maklumat bahawa antara kampung yang terkesan ialah Kampung Masjid, Kampung Manggis, Kampung Perlis, Kampung Binjai dan Kampung Seronok.
“Sebaik saja menerima maklumat, saya dan pasukan DUN terus ke kawasan terbabit bagi melihat dan membantu. Puluhan rumah dilanda banjir kilat dan ada kediaman terjejas teruk, terutama rumah yang terletak berhampiran Sungai Bayan Lepas. “Saya bimbang jika ada penduduk yang terperangkap dalam banjir, namun Alhamdulillah semuanya selamat. Setakat jam 10.15 pagi, air telah surut di beberapa kawasan dan tiada penduduk dipindahkan ke PPS,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Binjai, Baseri Hashim, ketika dihubungi berkata kira-kira 30 rumah di Kampung Binjai dilanda banjir kilat sejak awal pagi tadi akibat hujan lebat berterusan hingga jam 9 pagi.
Beliau berkata, air mula menenggelami kawasan rumah penduduk selepas subuh dan naik dengan cepat hingga ke paras buku lali orang dewasa, namun mangsa sudah bersiap sedia dan mengambil langkah berjaga-jaga.
“Setakat ini, tiada penduduk dipindahkan ke PPS kerana air kembali surut selepas hujan berhenti. Bagaimanapun, penduduk tetap berjaga-jaga kerana bimbang hujan lebat akan berterusan,” katanya.
Beliau memaklumkan, kampung itu kerap dilanda banjir sekiranya hujan lebat berterusan kerana berada di kawasan tanah rendah, justeru berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera, terutama bagi membersihkan longkang serta parit agar tidak tersumbat. – SUMBER: BERNAMA