TELUPID | Jemaah Kabinet Sabah secara dasarnya meluluskan cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri Sabah kepada dua penggal.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata cadangan berkenaan akan dibawa ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan datang sekiranya rakyat dan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk kerajaan serta pembangkang bersetuju untuk meminda Perlembagaan Negeri berkaitan perkara itu.
“Ini kerana mengehadkan tempoh jawatan ketua menteri membabitkan soal perundangan, justeru Perlembagaan Negeri perlu dipinda melalui Persidangan DUN Sabah.
“Cadangan ini satu lagi inisiatif yang dibawa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN),” katanya berucap pada Program Jelajah GRS Parlimen Beluran di Dataran Telupid di sini hari ini.
Turut hadir presiden dan pemimpin parti komponen GRS antaranya Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Presiden United Sabah National Organisation (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan.
Mengenai program berkenaan, Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah berkata, Program Jelajah GRS Parlimen Beluran adalah siri jelajah keempat selepas Keningau, Kudat dan Lahad Datu.
“Sudah sampai masanya pemimpin dari parti tempatan Sabah bersatu hati dalam satu wadah iaitu GRS bersama-sama berjuang menuntut dan menjaga kepentingan Sabah.
“Kita tidak akan berkompromi dalam memperjuangkan dan menuntut hak Sabah seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” tegasnya.
Sementara itu, Ronald berkata, program berkenaan mendapat sambutan amat positif dan menggalakkan daripada masyarakat di Parlimen Beluran yang dilaksanakan kepemimpinan negeri sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.
“GRS adalah gabungan berasaskan Sabah dan sudah tentu perjuangan besar adalah untuk memastikan negeri ini dibangunkan setaraf dengan negeri di Semenanjung dengan mengambil kira hak dan keistimewaan Sabah dalam negara ini.
“Kita ada perjanjian semasa membentuk Malaysia dan apa yang GRS mahu adalah Kerajaan Persekutuan melihat perkara itu.
“Kabinet (Persekutuan) ada membentuk jawatankuasa berkenaan perkara ini dan banyak perkara yang telah dilaksanakan, namun banyak lagi perkara yang perlu kerajaan Persekutuan lihat dan ini adalah agenda utama perjuangan GRS,” katanya.
Mengenai cadangan mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri Sabah kepada dua penggal, Ronald berkata ia cadangan yang baik dan sudah tentu akan disambut baik rakyat sebagai usaha memastikan ketelusan jawatan berkenaan.
“Terserah kepada ADUN untuk menentukan…jika melihat dalam konteks yang luas, ini cadangan yang baik,” katanya.