MASJID TANAH | Denda dan penjara maksimum tiga tahun menunggu sesiapa yang disabitkan kesalahan mengendap secara fizikal atau maya apabila Rang Undang-Undang (RUU) Anti Intip/Hendap diluluskan Parlimen.
Ia berikutan pindaan terhadap Akta 574 Kanun Keseksaan (Pindaan 2022) dengan memasukkan Seksyen 507 akta berkenaan yang memperuntukkan hukuman denda dan penjara.
Menjelaskannya, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata mengikut Seksyen 507A, sesiapa yang berulang melakukan gangguan atau kekerasan hingga menyebabkan seseorang mengalami tekanan, disifatkan sebagai melakukan kesalahan mengikut RUU Anti Intip/Hendap.
Beliau bagaimanapun berkata, jumlah denda tertakluk pada budi bicara mahkamah.
“Insya-Allah bacaan kali kedua RUU Anti Intip/Hendap akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua apabila Dewan Rakyat bersidang bulan depan.
“Kementerian berharap RUU itu diluluskan menjelang Disember depan,” katanya selepas menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 di Dewan Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) di Lubok Cina, di sini hari ini.
Seramai 180 pelajar cemerlang SPM dan 34 pelajar cemerlang STPM dalam Parlimen Masjid Tanah menerima anugerah wang tunai dan sijil yang keseluruhannya membabitkan peruntukan RM65,000.
Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata, gangguan atau kekerasan berkenaan adalah yang bersifat seperti mengekori seseorang dalam apa-apa bentuk atau tujuan.
Selain itu, menghubungi atau mencuba menghubungi seseorang dalam apa-apa bentuk atau tujuan juga disifatkan sebagai melakukan kesalahan itu.
Katanya, melepak atau berada di sesuatu tempat tinggal atau premis perniagaan seseorang juga dianggap melakukan kekerasan berkenaan.
“Memberi atau menghantar apa-apa perkara kepada seseorang dalam apa-apa bentuk sekali pun disifatkan sebagai mengintip atau mengendap,” katanya.
Beliau berkata, ‘berulang’ dalam akta berkenaan membawa maksud sekurang-kurangnya dua kali.
Katanya, ada kes seorang wanita membuat beberapa laporan polis selepas bekas teman lelakinya mengganggunya dengan kaedah menghantar mesej melalui media sosial dan pelbagai aplikasi.
Bagaimanapun, katanya, tiada tindakan mampu diambil terhadap lelaki terbabit berikutan ketiadaan undang-undang khusus untuk menahan dan mendakwanya.