Malaysia meminta negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mewujudkan Mekanisme Kerjasama Monetari Antarabangsa bagi menangani pelbagai isu ekonomi, termasuk cengkaman inflasi yang melanda dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata mekanisme sedemikian adalah perlu memandangkan dalam dunia saling terkait, dasar dan keputusan sesetengah negara mampu memberi kesan terhadap negara lain.
“Misalnya, dalam mendepani cengkaman inflasi yang melanda dunia, dasar monetari dan penetapan kadar faedah oleh sesebuah negara turut memberi impak kepada negara-negara lain,” katanya dalam ucapan sempena Perhimpunan Agung PBB (UNGA) Ke -77 di Ibu Pejabat PBB, di sini, pada Jumaat.
Ismail Sabri berkata, cadangan penubuhan Mekanisme Kerjasama Monetari Antarabangsa bertujuan membina sistem yang lebih efektif, adil dan mampu mengimbangi keperluan pembangunan sejagat. “Di sinilah kerjasama dan penyelarasan antara negara perlu dipertingkatkan, bagi mencapai matlamat kesejahteraan ekonomi yang lebih adil untuk semua,” katanya.
Sejak kebelakangan ini, trend kadar inflasi tinggi menjadi fenomena global yang turut dialami banyak negara di dunia berikutan kenaikan input pengeluaran dan harga bahan api. Menurut kajian Bank Dunia, ketika bank di seluruh dunia menaikkan kadar faedah secara serentak berikutan inflasi, dunia berkemungkinan akan menuju ke arah kemelesetan pada 2023.
Bank pusat di seluruh dunia telah menaikkan kadar faedah tahun ini pada kadar belum pernah dilihat sejak lima dekad lalu – satu trend yang dijangka berterusan hingga tahun depan, menurut laporan itu.
Pelabur menjangka bank pusat menaikkan kadar dasar monetari kepada hingga hampir empat peratus sepanjang 2023, peningkatan lebih dua peratus berbanding purata pada 2021.
Di Malaysia, Laporan Kewangan Rakyat Ke-109 oleh Kementerian Kewangan pada awal bulan ini menunjukkan kadar inflasi di Malaysia adalah lebih rendah berikutan langkah kerajaan menyediakan peruntukan subsidi lebih besar, iaitu sebanyak RM77.7 bilion bagi 2022 berbanding bajet asal sebanyak RM31 bilion.
Menurut laporan itu, kadar inflasi di Malaysia meningkat 3.1 peratus bagi tempoh Januari hingga Ogos 2022, selari jangkaan pasaran sebanyak 3.2 peratus bagi tahun ini, didorong permintaan dalam negara yang kukuh, harga komoditi yang masih tinggi dan gangguan dalam rantaian bekalan global.
Bagi Ogos 2022, kadar inflasi negara meningkat sedikit kepada 4.7 peratus berbanding 4.4 peratus pada Julai 2022, dan kadar inflasi masih tinggi berikutan fenomena global yang turut dialami oleh kebanyakan negara disebabkan kenaikan input pengeluaran dan harga bahan api.
Kadar inflasi pada Ogos 2022 di Zon Eropah adalah 9.1 peratus, Amerika Syarikat (8.3 peratus), Thailand (7.9 peratus), Filipina (6.3 peratus) dan Republik Korea (5.7 peratus). – SUMBER: BERNAMA