SIMUNJAN | Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyasarkan penganjuran 126 acara perniagaan sepanjang tahun ini yang dijangka mampu memberi pulangan bernilai RM734 juta bagi memulihkan sektor pelancongan negara.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata di bawah usaha melalui Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) ini, kementerian meluluskan 141 permohonan Geran Sepadan Sektor Pelancongan (GSSP) dan 167 permohonan Geran Sepadan Sektor Kebudayaan (GSSK) sehingga kini, yang masing-masing bernilai RM20.5 juta dan RM20.75 juta.
“Sebenarnya masih ramai mahu memohon geran ini, tetapi semua peruntukan telah dipakai. Kita tidak larang sesiapa untuk terus memohon, cuma kena sabar untuk permohonan geran diluluskan tahun depan.
“Selain itu, sebanyak 23 acara dan program pelancongan dengan nilai (bantuan) RM1 juta serta 29 acara dan program ‘voluntourism’ (sukarelawan pelancongan) di seluruh negara disediakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Logo Baharu Voluntourism di Padang Sentral, di sini, hari ini.
Mengambil contoh penganjuran Program Voluntourism dan Kebudayaan Simunjan 2022, Nancy berkata, ia boleh memanfaatkan ekonomi banyak pihak khususnya dalam kalangan warga tempatan.
Nancy memaklumkan, setakat semalam, program voluntourism dilaksanakan MOTAC sejak September 2012 itu membabitkan pendaftaran 14,165 sukarelawan meliputi pelbagai peringkat usia dan latar belakang.
“Sebelum ini program ini dikenali sebagai 1Malaysia Voluntourism yang dibangunkan melalui inisiatif ketujuh di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS7 – Voluntourism).
“MOTAC menjenamakan semula dan memberi nafas baharu kepada program voluntourism sedia ada dengan menyusun semula teras utama dan logo baharu,” tambahnya. – SUMBER: BERNAMA