BUKIT MERTAJAM | Parti Bangsa Malaysia (PBM) akan memberi tumpuan terhadap kerusi-kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang ahli mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) memandangkan peluang untuk menang dilihat lebih cerah.
Presidennya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, rata-rata wakil rakyat daripada parti itu sudah dikenali ramai, malah ada dalam kalangan mereka termasuk beliau sendiri telah berkhidmat di kawasan yang sama selama tiga penggal.
Selain itu katanya, PBM tidak mempunyai masa mencukupi untuk membina pengaruh baharu di kawasan lain memandangkan PRU-15 semakin hampir.
“Kita perlu lebih fokus dan strategik, jadi kita tumpu kerusi yang kita dah menang (disandang oleh ahli PBM).
“Kita tak akan pergi ke tempat yang kita belum tentu akan menang. Kita dah ada jentera, kita dah ada penyokong (di kerusi penyandang). Jadi, lebih mudah untuk kita buat kerja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat PBM Pulau Pinang di Juru, dekat sini hari ini.
Selain kerusi Ampang yang disandang oleh Zuraida, kerusi Parlimen lain yang turut disandang ahli PBM ialah Tebrau (Steven Choong Shiau Yoon); Julau (Larry Sng Wei Shien) dan Silam oleh Datuk Mohamaddin Ketapi).
Pada masa sama, PBM juga memiliki lima kerusi DUN dengan tiga daripadanya di Perak dan dua lagi di Selangor termasuk kerusi milik Timbalan Presiden parti itu, Haniza Mohamed Talha (DUN Lembah Jaya).
Dalam pada itu, Zuraida memberitahu, sambutan yang diterima terhadap parti tersebut selepas siri jelajah ke beberapa negeri termasuk di Perak, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor sebelum ini disifatkan baik.
“Untuk negeri-negeri yang tidak ada ‘incumbent’ (kerusi penyandang) kita turun untuk memperkenalkan parti sahaja. Tapi, untuk negeri yang ada ‘incumbent’ seperti Perak dan Selangor, kita akan buat program terus.
“Contohnya di kerusi DUN Malim Nawar (Leong Cheok Keng) dan beberapa kerusi lain termasuk kerusi saya sendiri (Ampang),” katanya.
Bagaimanapun tambah Zuraida, beliau tidak menolak meletakkan calon di kerusi-kerusi baharu termasuk di Pulau Pinang sekiranya menerima tawaran daripada parti gabungan yang akan mereka sertai.
Mengulas mengenai penyertaan PBM sebagai parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) pula, kata Zuraida, belum ada sebarang kata putus dicapai buat masa ini.
“Kita tidak akan memikirkan perkara yang belum terjadi (penerimaan BN). Kita hanya bertindak berdasarkan apa yang ada (situasi) sekarang,” ujarnya yang memberitahu, penyertaan mereka masih di peringkat perbincangan dan penelitian.- SUMBER: UTUSAN