BERSATU menyatakan pendirian untuk menghormati keputusan mahkamah membebaskan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 40 tuduhan rasuah berkait visa luar negara (VLN).
Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata bagaimanapun Zahid mempunyai kes-kes mahkamah lain yang belum diputuskan lagi.
“Kita hormati keputusan mahkamah. Apa diputuskan oleh mahkamah, kita hormati, kena terima keputusan sama ada suka atau tidak lain cerita.
“Kena sedar juga bahawa beliau belum terlepas dari semua pertuduhan. Masih ada kes-kes diarahkan bela diri. Kalau dalam kes itu didapati bersalah kena terima seperti dia terima kes keputusan diputuskan semalam,” katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Ulang Tahun BERSATU ke-6, hari ini.
Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Yazid Mustafa memutuskan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Presiden UMNO itu.
Zahid, 69, didakwa atas 33 tuduhan menerima rasuah berjumlah SGD13.56 juta (RM42 juta) daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) ketika menjadi menteri dalam negeri, untuk menyambung kontrak firma itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan sistem VLN, serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak bagi pembekalan sistem bersepadu VLN.
Beliau juga didakwa atas tujuh lagi tuduhan memperoleh untuk dirinya SGD1.15 juta; RM3 juta; 15,000 franc Swiss; dan USD15,000 daripada syarikat sama berkaitan dengan tugas rasminya.
Presiden Umno itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.
Beliau masih berdepan 35 tuduhan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkait pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah membabitkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah untuk pelbagai projek semasa beliau menjadi menteri dalam negeri.
Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata rakyat Malaysia boleh menilai sendiri keputusan Hakim tersebut.
“Jadi biar masing-masing dengan pandangan masing-masing.
“Tetapi di pihak BERSATU ambil keputusan kita hormati keputusan mahkamah,” katanya.
Bagaimanapun, Wan Saiful menasihatkan UMNO menerima keputusan mahkamah yang tidak memihak kepada pemimpin mereka selepas ini.
“Saya nasihatkan kalau keputusan Zahid semalam diterima UMNO, keputusan Datuk Seri Najib Razak pun terima.
“Jangan kata yang sebelahi dia (UMNO) mahkamah itu adil. Jika tak sebelahi (UMNO) kata tak adil,” katanya.