JELI | Kos berganda selain mengganggu kestabilan ekonomi negara antara yang akan berlaku sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak dilaksanakan serentak jika negeri tidak bersedia membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku dalam keadaan kerajaan mahu memberi tumpuan kepada ekonomi negara.
“Sekiranya PRU15 tidak dilakukan secara serentak, sudah tentu kos akan berganda sehingga mencecah hampir RM2 bilion berbanding kos asal lebih RM1 bilion selain akan menyusahkan rakyat.
“Pada masa sama, banyak perkara juga berbangkit iaitu kempen juga perlu dilakukan dua kali. Bila tempoh berkempen sudah tentu berlakunya ‘perang mulut’ dan keadaan itu tidak bagus untuk ekonomi negara.
“Sedangkan kerajaan sedang memberi tumpuan kepada ekonomi negara,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada 64 pelajar yang cemerlang di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kos PRU15 sekiranya ada negeri tidak bersedia membubarkan DUN.
Media sebelum ini melaporkan, PAS kekal dengan pendirian tidak akan membubarkan DUN di negeri yang dikuasainya sekiranya PRU dilakukan tahun ini.
Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad dilaporkan berkata, PAS berpendapat tidak ada keperluan untuk kerajaan membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU diadakan ketika musim banjir.
Idris menjelaskan, mengadakan PRU ketika musim banjir hanya akan menyusahkan banyak pihak termasuk urusan mengendali PRU.