KOTA BHARU | Kelantan merekodkan kes denggi sebanyak 696 kes dari Januari sehingga kelmarin.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata, kes berkenaan menunjukkan peningkatan sebanyak 337.7 peratus berbanding pada tempoh yang sama tahun lalu iaitu 159 kes.
Katanya, sebanyak 39 wabak yang direkodkan sehingga kelmarin berbanding lapan wabak dalam tempoh yang sama tahun lalu.
“Terdapat 10 wabak yang masih aktif dan 29 wabak pula sudah tamat tempoh,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Dr Zaini berkata, sehingga 24 September, sejumlah 182,335 premis diperiksa dan 1,437 kompaun dengan nilai lebih RM700,000 dikeluarkan mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 (Akta 154).
Katanya, aktiviti kawalan dan pencegahan juga dijalankan untuk semua kes serta wabak denggi bagi membendung penularan.
“Aktiviti kawalan vektor yang membabitkan pemeriksaan premis, semburan kabus, penghapusan tempat pembiakan dan pendidikan kesihatan dijalankan untuk setiap kes atau wabak,” katanya.