Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengambil serius dan bercadang mengangkat isu tidak cukup katil di wad bersalin di hospital kerajaan ke peringkat Kabinet.
Timbalan Menterinya, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, KPWKM akan cuba membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk sama-sama memastikan pesakit mendapat keselesaan.
Katanya isu yang dihadapi pesakit terutama ibu-ibu yang mahu bersalin, difahamkan KKM telah mengambil tindakannya.
“Saya yakin pihak Kementerian Kesihatan Malaysia lebih arif dalam menyelesaikan perkara itu dan langkah-langkah sewajarnya diambil pihak berkenaan.
“Apa pun kita serahkan kepada KKM untuk menyelesaikan, cuma sebagai usaha pihak kita akan jalinkan kerjasama untuk memastikan kesemua pesakit mendapat keselesaan,” katanya selepas merasmikan pelancaran Jelajah GO Digital-MPUK, di Bazar Siti Fatimah di sini hari ini.
Hadir sama Adun Salor Saiful Adli Abu Bakar, Adun Wakaf Bharu Muhd Rusli Abdullah dan pegawai kanan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).
Siti Zailah juga berkata, pihak hospital menyediakan pusat transit melalui Yayasan Kebajikan Negara kepada ahli keluarga untuk menginap sementara sedang menunggu pesakit.