PASIR PUTEH | Seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh oleh kereta kejadian di Jalan Kampung Merkang di sini, malam tadi.
Kemalangan jam 8 malam itu menyebabkan mangsa yang berusia 31 tahun cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 12.15 tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu sebuah motosikal dan sebuah kereta.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu kereta dari arah Kampung Merkang menghala ke Baroh Kada telah merempuh penunggang motosikal yang sedang berhenti di bahu jalan sebelah kiri.
“Akibat daripada kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Tengku Anis Pasir Puteh untuk rawatan lanjut.
“Mangsa meninggal jam 12.15 tengah malam,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu kereta direman bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, bagi mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan siila hubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Puteri Famieza Abd Kahar di talian 017-2047828 .