KOTA BHARU | Polis Kelantan memohon kerjasama rakyat negeri ini khususnya warga maya supaya menghentikan perbuatan menyebar dakwaan kes culik sehingga menimbulkan ketakutan dalam masyarakat.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dakwaan cubaan membawa lari atau menculik kanak-kanak di perkarangan sekolah yang berlegar-legar di laman media sosial sejak kebelakangan ini didapati tidak berasas.
Katanya, beberapa posting yang dimuat naik dalam media sosial dan ditularkan telah mendorong Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya kontinjen Kelantan menjalankan siasatan.
“Dakwaan yang mengaitkan indvidu mencurigakan berada di perkarangan sekolah atau tempat tempat tertentu telah disiasat oleh pihak polis, namun kesemua dakwaan berkenaan tidak menjurus kepada situasi cubaan membawa lari atau menculik kanak-kanak.
“Tindakan menyebar bahan atau perkara tidak berasas sehingga boleh menimbulkan kegelisahan awam dan ketakutan dalam masyarakat merupakan satu kesalahan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.
Beliau berkata, mereka terlibat boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan (mendatangkan kegusaran awam) yang boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duamya sekali dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara hingga satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Katanya, polis Kelantan pada 22 dan 26 September lalu telah menjalankan siasatan terhadap dakwaan cubaan menculik pelajar sekolah rendah masing masing di daerah Gua Musang, Kuala Krai dan Pasir Puteh.
“Hasil siasatan polis mendapati individu yang dikatakan berada di kawasan sekolah berkenaan tidak mempunyai nait untuk menculik sebaliknya mempunyai urusan lain.
“Dakwaan sama turut berlaku di Kuala Krai baru-baru ini sehingga menimbulkan kebimbangan penduduk di daerah itu. Bila kita jalankan siasatan, rupa-rupanya individu yang dikatakan cuba menculik itu rupanya kaki tangan sebuah syarikat perkhidmatan penapis air yang mempunyai urusannya untuk membuat kutipan bulanan dari pelanggan di situ,” katanya.
Muhamad Zaki berkata, kejadian seumpama itu turut berlaku di kawasan masjid Muhammadi, pada awal September lalu sehingga seorang lelaki kurang siuman menjadi mangsa keadaan apabila di belasah oleh orang ramai kerana didakwa cuba menculik kanak-kanak.
Semalam tular sepucuk surat dari sebuah sekolah di Kelantan yang mengingatkan ibu bapa menjaga dan mengawasi anak anak mereka sewaktu menghantar dan mengambil pulang dari sekolah, berikutan risiko menjadi mangsa culik.
Tular sejak beberapa hari ini hantaran dan muat naik di media sosial mengaitkan dakwaan menculik kanak-kanak sehingga timbul keresahan di kalangan ibu bapa.
“Pihak Polis telah menjalankan siasatan selepas tular dakwaan seumpama itu, namum ianya tidak benar dan tidak berasas apatah lagi yang mengaitkan mengenai sindiket mengambil organ kanak-kanak dan sebagainya.
“Kita minta orang ramai supaya merujuk sesuatu kejadian dan dakwaan itu melalui sumber sahih termasuklah dari pihak polis supaya tidak berlaku kekeliruan,” katanya.