InsyaAllah bermaksud “Jika Allah menghendaki”. Ia adalah ucapan yang perlu disebut apabila kita ingin melakukan hal pada suatu waktu yang akan tiba kelak. Kita menyandarkan apa yang ingin dilakukan kepada Allah – jika Allah menghendaki ia berlaku maka ia akan berlaku.
“Dan janganlah sekali-kali kamu mengatakan terhadap sesuatu: sesungguhnya aku akan mengerjakan ini esok pagi kecuali dengan menyebut InsyaAllah…” (Surah Al-Kahfi 18:23-24)
Walau bagaimanapun, tidak dinafikan ada juga yang menyebut perkataan ini tanpa niat sekadar untuk mengelak janji dan beralasan kepada orang. Hal ini perlu dielakkan. Sebagai panduan, mari kita lihat bilakah waktu yang sesuai dan tidak untuk menyebut InsyaAllah.
Bila Perlu Sebut InsyaAllah?
1- Sesuatu Yang Ingin Dilakukan Pada Masa Hadapan
Apabila kita ingin melakukan sesuatu perkara pada masa depan, maka perlu mengucap InsyaAllah. Bermakna, ucapan ini disebut apabila adanya niat untuk melakukan sesuatu perkara.
Sama seperti kisah Rasulullah SAW dengan seorang Quraish yang ingin bertanya tentang roh, kisah ashabul kahfi dan kisah Dzulqarnain. Rasulullah menyuruhnya datang keesokan hari dan akan diceritakan. Lalu Allah SWT menegur baginda untuk menyebut InsyaAllah.
2- Apabila Ragu-ragu Mampu Melakukannya Atau Tidak
Apabila ingin melakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan, seseorang mungkin berasa kurang yakin dengan kemampuan dirinya. Dia bukan tidak mahu mencuba melakukan perkara tersebut tetapi kurang yakin atau takut. Maka dalam keadaan ini juga seseorang boleh mengucapkan InsyaAllah.
3- Apabila Menziarahi Orang Sakit
Dalam suatu riwayat, ketika baginda Rasulullah SAW menziarahi orang Badwi yang sakit, Nabi SAW ada mengucapkan InsyaAllah.
لَا بَأْسَ، طَهُوْرٌ إِنْشَاءَ اللهُ
Ia bermaksud tidak ada kemudaratan yang akan datang dan Allah akan menyembuhkan, InsyaAllah.
Bila Tidak Perlu Sebut InsyaAllah
1- Sebagai Alasan
Ucapan InsyAllah dilarang apabila ia diucapkan hanya sebagai cara untuk berlepas diri daripada janji – tidak ada niat untuk melakukan apa yang disebut bersama InsyaAllah itu. Allah berfirman dalam Surah as-Saff mengingatkan mukmin supaya tidak mengatakan apa yang tidak dilakukan.
“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!
Amat besar kebenciannya di sisi Allah – kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” (Surah as-Saff 62:2-3)
2- Tidak Diucapkan Di Dalam Doa
Kalimah InsyaAllah juga tidak boleh disebut dalam doa pengharapan dan permintaan kepada Allah. Setiap doa yang dipinta mestilah dengan rasa yakin bahawa Allah akan mengabulkan.
“Berdoalah kepada Allah dalam keadaan yakin akan dikabulkan, dan ketahuilah bahawa Allah tidak mengabulkan doa dari hati yang lalai.” (HR. Tirmidzi, no. 3479 – Syaikh Al-Albani mengatakan bahawa hadis ini hasan)
Demikian beberapa keadaan yang disarankan dan tidak disarankan menyebut InsyaAllah. Sebagai Muslim kita mengimani bahawa kuasa Allah jua yang mengizinkan sesuatu itu terjadi atau tidak. Walau bagaimanapun, elemen sunnatullah tetap perlu ada iaitu usaha sebagai syarat wajib bagi mengubah keadaan sebagaimana yang diharapkan.
KONGSIKAN ARTIKEL INI – SUMBER: TZKRH.COM