Lebih 50 peratus spesies pokok palma berdepan kepupusan, menyebabkan pasukan saintis menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menilai risiko tersebut bagi mencari kaedah terbaik mengelakkan ia daripada berlaku.
Data yang dihasilkan itu boleh memberikan gambaran yang lebih baik tentang berapa banyak dan spesies pokok palma mana yang paling teruk terjejas.
Palma merupakan keluarga tumbuhan besar yang menjadi sumber makanan, minuman dan tempat tinggal kepada jutaan orang di seluruh dunia.
“Kita perlu melakukan semua usaha yang boleh untuk melindungi biodiversiti, terutamanya melibatkan spesies pokok palma yang semakin terancam.
“Tindakan perlu diambil segera untuk mengumpul seberapa banyak data yang boleh bagi menangani masalah itu (kepupusan),” kata ketua penyelidik, Dr. Sidonie Bellot dari Royal Botanic Gardens di Kew, London.
Jelas Bellot, pokok palma mempunyai pelbagai kegunaan termasuk sebagai tanaman ruji seperti kelapa, minyak sawit, selain bahannya banyak digunakan dalam sektor pembuatan perabot, getah, minyak dan tali.
Dalam pada itu, para saintis menzahirkan kebimbangan terhadap kepupusan spesies pokok palma yang kurang terkenal dalam kalangan masyarakat dan sering dianggap sebagai tumbuhan liar.
Bellot menjelaskan, penilaian risiko kepupusan mengambil masa dan kos yang tinggi.
Kumpulan penyelidiknya menetapkan Madagascar, New Guinea, Filipina, Hawaii, Borneo, Jamaica, Vietnam, Vanuatu, New Caledonia dan Sulawesi menjadi lokasi tumpuan dalam usaha pemulihan pokok palma. SUMBER: AGENSI