KOTA BHARU | Diperdaya oleh scammer yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyebabkan seorang peniaga kerugian lebih RM90,000.
Wanita berusia 33 tahun itu dihubungi oleh seorang wanita yang mendakwa dari LHDN Cyberjaya pada 24 September lalu ketika dia berada di rumahnya.
Menceritakan kejadian itu, mangsa berkata, wanita berkenaan kemudian membaca maklumat dirinya dan memaklumkan dia mempunyai tunggakan LHDN berjumlah lebih RM30,000.
“Saya terkejut kerana tunggakan yang diterima melalui surat LHDN sebelum ini tidak sampai sejumlah itu. Saya juga pelik kerana tunggakan itu bukan di bawah syarikat saya, namun nama dan kad pengenalan yang disebut adalah betul.
“Wanita itu memaklumkan nama akan disenarai hitam dan bankrap jika tidak selesaikan tunggakan dalam tempoh segera. Mereka kemudian menyambung talian ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu dan bercakap dengan Inspektor Ahmad Fauzi untuk membuat laporan,” katanya ketika di sini, hari ini.
Menurutnya, talian kemudian disambung ke Bukit Aman dan dia dimaklumkan terbabit dalam penggubahan wang haram sebanyak RM228,000 serta kes penyeludupan dadah sebanyak 90 kilogram (kg).
Katanya, lebih menakutkan apabila dimaklumkan dirinya boleh dipenjara seumur hidup atau gantung sampai mati.
“Saya diarahkan supaya tidak memberitahu orang lain dan diberitahu akta jenayah yang menakutkan selain mereka meminta segera memindahkan wang sebelum akaun dibekukan. Saya juga bercakap dengan ‘pegawai polis’ dari Bukit Aman yang berpangkat datuk untuk menyelesaikan kes itu,” katanya.
“Seperti dipukau, saya membuat empat transaksi yang berjumlah RM90,194 ke dua akaun yang diberikan sebelum tersedar diri ditipu oleh scammer,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.